Strategi PUO menjadi
Oleh ISMA ISMAIL dan NOREALYNA MISMANmetahad@hmetro.com.my
TAMPIL sebagai satu-satunya pusat pengajian bukan bertaraf universiti pada cabaran Perodua Eco-Challenge 2009, baru-baru ini tidak sedikitpun menghadirkan rasa gentar pada pasukan Politeknik Ungku Omar (PUO) Perak untuk menunjukkan kemampuan mereka.
Kehadiran pasukan dari beberapa universiti utama dalam negara seperti Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk bersaing membuatkan pasukan PUO memasang tekad untuk mencipta kejutan pada cabaran itu.
Nyata, kesungguhan mereka berbaloi apabila meraih kemenangan dalam cabaran jarak paling jauh untuk pemanduan Perodua Myvi 1.3 manual berbekalkan petrol sebanyak satu liter.
Kemenangan itu menarik perhatian ramai pihak, termasuk Pengarah Urusan Perodua, Datuk Syed Abdul Hafiz Syed Abu Bakar, kerana kemampuan mereka mengubahsuai kenderaan supaya jimat bahan api berbanding pasukan lain.
Dengan kereta Myvi yang diberi nama E3 Revolution, pasukan PUO yang dianggotai 14 penuntut fakulti kejuruteraan bersama enam pensyarah muda menjadikan kestabilan serta kelajuan kenderaan sebagai asas menghadapi cabaran itu.
Hasilnya, dengan satu liter minyak petrol membuatkan E3 Revolution mampu melakukan jarak sejauh 25.8 kilometer seterusnya menewaskan 11 pasukan lain yang semuanya dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bertaraf universiti.
Ketua pasukan yang juga pensyarah PUO, Mohd Azmi Ibrahim, 29, berkata tiada rahsia istimewa yang menjadi faktor kemenangan mereka, sebaliknya hanya strategi bijak memberi kelebihan sehingga mereka berjaya menjuarai Perodua Eco-Challenge 2009.
Menurutnya, mereka mengekalkan enjin asal Myvi kerana yakin enjin kereta keluaran Perodua itu mampu menjimatkan minyak.
"Kami yakin enjin Myvi memang direka bagi menjimatkan minyak, tetapi kami melakukan sedikit pengubahsuaian untuk menjadikan ia lebih jimat minyak.
"Rahsia kami adalah kami berjaya membuat kereta ini stabil dalam apa jua keadaan dengan menukar penapis oksigen," katanya.
Mohd Azmi berkata, pasukannya juga melakukan persediaan dengan melakukan sedikit kajian berkaitan teknologi automotif dan berjaya mencipta 'stabilizer voltage' serta 'external fuel palm' yang bukan saja menurunkan suhu kereta dan menstabilkan kereta, malah mampu mengawal pam minyak, menyebabkan kadar penggunaan minyak turun.
"Apabila kereta kami benar-benar stabil, pemandu boleh memandu laju dalam apa jua keadaan tanpa gusar akan risiko kemalangan. Suhu yang rendah dan stabil juga mengurangkan penggunaan minyak," katanya.
Bercerita lanjut mengenai E3 Revolution, nama kereta ini bertepatan dengan revolusi penjimatan minyak yang mereka lakukan dan E3 melambangkan tiga ciri berbeza yang ditonjolkan Perodua Myvi mereka.
"E pertama bermaksud 'Ekonomi', kerana kereta itu lebih jimat minyak, E kedua membawa maksud 'Environment' iaitu mengurangkan pencemaran alam sekitar dan E ketiga pula untuk 'Energy' yang membawa maksud bertenaga untuk perjalanan jauh," katanya.
Menurutnya, persediaan untuk projek itu dibuat selama sebulan, termasuk membuat kajian, kertas cadangan dan proses pengubahsuaian kereta.
"Kami tidak mengambil masa lama untuk membuat persediaan, namun dalam masa sebulan itu kami sama-sama bulatkan tekad, bersengkang mata menyelesaikan projek ini hingga berjaya," katanya.
Selain itu, satu lagi keistimewaan pasukan itu ialah daripada segi penyertaan, pesertanya daripada pelbagai cabang kejuruteraan berbanding pasukan lain yang semua pesertanya dari Fakulti Kejuruteraan Automotif.
"Pensyarah memilih empat peserta dari Fakulti Kejuruteraan Automotif, lima dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan lima dari Fakulti Kejuruteraan Mekatronik.
Syed Abdul Hafiz pula berkata, program diadakan itu diharap mampu membantu melahirkan jurutera muda dalam bidang permotoran di negara ini.
Menurutnya, kesungguhan dan semangat yang ditunjukkan peserta menampakkan program berkenaan benar-benar menarik minat penuntut kejuruteraan untuk berkecimpung dalam industri permotoran.
"Melihat keadaan ini, Perodua semakin yakin untuk bekerjasama dengan IPT bagi melahirkan lebih ramai jurutera tempatan," katanya.
>Info
Tiga kategori dipertandingkan pada Perodua Eco-Challenge 2009:
> JARAK PALING JAUH (Myvi 1.3 Manual)
Johan: Politeknik Ungku Omar (PUO) - 25.8 kilometer
Kedua: Universiti Malaysia Pahang (UMP) - 23.1 kilometer
Ketiga: Universiti Industri Selangor (Unisel) - 22.5 kilometer









pergh
ReplyDeletemmg predictable!
:D
eh nway CONGRATS
ReplyDeletehaha
thanks yat..
ReplyDelete